Suasana penuh ceria dan bermakna mewarnai program Sambutan Hari Ibu & Meraikan Warga Emas yang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Serbaguna, Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz (MJSAA), hari ini.
Program anjuran bersama Biro Muslimat Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Cawangan Petaling Jaya ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada golongan ibu yang menjadi tonggak keluarga, di samping meraikan warga emas yang dikasihi.
Pogram dimulakan dengan aktiviti Senam Chairobik yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh semangat. Aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta pelbagai peringkat umur.
Seterusnya, Sesi Bual Bicara bertajuk “Rahim Jatuh: Faham, Kenal dan Jangan Diam” yang disampaikan oleh Dr. Fazlin Azihan Harun, Pakar Sakit Puan. Perkongsian ilmiah tersebut memberi pendedahan penting berkaitan kesihatan wanita, khususnya mengenai isu prolaps rahim yang sering dianggap sensitif dan kurang dibincangkan secara terbuka.
Majlis turut diserikan dengan Persembahan Khas oleh Alina Hassan yang berjaya memukau hadirin serta menambah kemeriahan sambutan.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Puan Maisarah Binti Ismail, Ahli Majlis Zon 15, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh program kemasyarakatan dan kebajikan setempat.
Bagi menambahkan keterujaan peserta, penganjur turut mengadakan Cabutan Barakah dengan hadiah utama berupa 2 tiket ETS Kuala Lumpur – Johor Bahru – Kuala Lumpur.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir serta menyumbang tenaga dan sokongan dalam menjayakan program ini. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium mengeratkan silaturahim, menghargai jasa ibu serta memuliakan warga emas dalam komuniti.
📸 Lagi momen sepanjang program di sini
➡️ https://www.facebook.com/bihem.mjsaa
#HariIbu2026 #WargaEmasDirai #mjsaaselaludihati
